Sunday, July 24, 2011

BINTANG DIHATIKU (BAB 2)


BAB 2

Pagi itu, aku bersiap seperti biasa. Kelas pertama aku pada hari ini akan bermula pada jam 9.00 pagi. Sekarang jam menunjukkan angka 6.30 pagi. Masih awal lagi, aku sudah berkira-kira mahu bersarapan terlebih dahulu bersama Sya, Nor, Syida, Su dan Lena. Kami sudah berjanji akan bertemu di Kafe Abah lagi setengah jam.

“Eh, kenapa senyap je aku rasa rumah ni… kalau tak, pagi-pagi macam ni, mesti bising dengan suara si Sya yang tak pernah berhenti ‘berpot pet’ tu… lain macam aje ni…” aku mula merasai kelainan pada pagi ini. Langkah ku atur ke bilik Sya. Nor pula baru sahaja keluar dari bilik air.

“Nor, mane Sya? Senyap aje dia pagi ni?” aku mula menyuarakan persoalanku kepada Nor.

 “Entahlah Ziqa, tak bangun lagi kot? Sebelum aku mandi tadi, aku dah kejutkan dia dulu dah… pergi la tengok dalam bilik dia tu.”

“Ya Allah, makcik ni sorang, duk berbungkus lagi rupanya… patutlah tak dengar suara dia membebel macam mak nenek… Sya, bangunlah… dah lewat dah ni…” tubuh Sya digoncang aku.

 “Ala, jap lagi kawe bangunlah, mata kawe ni sero toksei buko lagi… 5 minit lagi deh… kekgi kawe bangun” Sya mula memberi alasan.

 “Jangan nak mengada-ngada ea, bangunlah makcik oii… dah lambat ni…” sambil itu, aku mula menggeletek tubuh Sya. Itulah kelemahan Sya yang sememangnya diketahui oleh kami.

 “Oii, geli la… iyo… iyo… kawe bangun doh ni ha… dokleh tengok oghe senang langsung la dio nih. Geghe sunggoh la aku gak.”

 “Tengok, bukak je mata, terus jadi murai tercabut ekor. Sudah, pergi mandi la.” Aku mengambil tualanya dan menolak Sya ke arah pintu.

 “Jangan duk tidur lak dalam bilik air tu Sya” aku sempat mengingatkannya. Kami pernah mengalami detik-detik cemas dimana Sya aku sangkakan pengsan di dalam bilik air. Aku dan Nor puas memanggil namanya, tetapi tiada sahutan. Kesudahannya pintu bilik air terpaksa aku dan Nor pecahkan. Berbekalkan ilmu taekwondo yang aku tuntut, pintu bilik air diterajang sekuat hati. Betapa terkejutnya kami setelah pintu bilik air terbuka. Sya dengan lenanya terlelap sambil dagunya disangkutkan di singki. Tergelak kami berenam apabila cerita ini disampaikan kepada Syida, Su, Lena dan juga Haziq.

Kami terlewat beberapa minit tiba di Kafe Abah. Ketika kami sampai, Syida, Su dan Lena telah bersedia menunggu kami. Riuh rendah suara kami setiap kali berjumpa. Masing-masing beratur bagi mendapatkan makanan untuk mengalas perut. Menu sarapan aku, seperti biasa ialah nasi lemak dan milo panas. Sambil menjamu selera, kami rancak bercerita.

“Ziqa, ko ngan Haziq apa cerita sekarang? Dia tak contact ko lagi ke?” Lena memulakan bicara.

 “Hurm, entahlah lena…. Aku….” Belum sempat aku menyambung kata, pantas Sya memotong percakapan aku.

 “Takdo lah tu, sebab tu muko seposen jah yang dia tunjuk kat kito tuh.”

 “Dah la Ziqa, buang masa je ko duk teringat-ingat, ternanti-nanti dia. Dia entah ingat entah tidak kat ko.”

Giliran Su pula mengeluarkan pendapat. Syida dan Nor pula hanya sekadar mengangguk tanpa memandang sedikit pun kea rah aku. Pada waktu makan macam ni, Syida dan Nor akan menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada makanan. Kata mereka tak elok bising-bising depan rezeki.

Tiba-tiba, perhatian aku teralih ke satu arah. Mata aku seperti tertarik untuk memandang sepasang pelajar. Mereka kelihatan begitu akrab sekali walaupun keadaan mereka membelakangkan aku. Aku berterusan memerhatikan jejaka itu. Tidak ku duga, jejaka itu turut berpaling, seolah-olah mengetahui ada mata yang sedang merenungya. Tatkala mata bertemu mata, jantungku terasa seperti mahu pecah, jejaka itu adalah orang yang sama yang selalu mendatangkan kerinduan di hati aku.

“Haziq….” Tanpa aku sedar, namanya aku seru perlahan. Syida yang berada di hadapan aku tanpa aku sedar terdengar suaraku, dan turut sama memandang ke arah tuju mata aku. Riak mukanya mula berubah.

 “Jantan tak guna… tau lah nasib ko nanti…” Aku menyedari apa yang Syida akan lakukan, segera memegang tangannya, menahan dia daripada meneruskan niat di hatinya.

 “Lepaskan aku Ziqa, biar aku yang pergi bersemuka dengan dia.” Syida berkata-kata dalam amarahnya.

 “Tak payah la Syida, tak perlu… biarkan dia…” Aku memujuk Syida yang sedang berada di tahap kemuncak kemarahannya.

Haziq dan pasangannya berjalan ke arah kami dengan dua gelas air di tangan Haziq. Mereka mengambil tempat selang dua buah meja daripada kami. Muka perempuan itu dapat aku lihat dengan jelas sekali. Mastura binti Mazlan! Pelajar jurusan perakaunan. Setiap butir bicaranya dapat aku dengar dengan jelas. Tanpa segan silu, Mastura memegang tangan Haziq, gelak tawanya yang manja menampar-nampar telinga aku.

“Cantikkan dia…” Aku memecahkan kebisuan kami.

 “Sapo dio? Si Mastura tu ko? Aish, gelilah kawe tengok dio, mace takdok tulang belakang, lentok kiri, lentok kanan. Tambah-tambah lagi dengan baju mace sarung nangka tu. Tapi ado so bendo lah kawe duk kesian kat dio tu, agok-agoknya kan, mesti rumoh dio tu, air berkarat kan, sampai mace tu sekali kena kat rambut dio tu. Kesian betul…” sepatah aku bertanya, berpuluh-puluh patah Sya memberikan komennya. Serentak perkataan terakhir keluar dari bibir Sya, kami berenam ketawa tak ingat dunia.

Dalam masa yang sama, aku dapat melihat mata Haziq mencuri pandang ke arah kami. Sesaat. Dua saat. Tiga saat… kami bertentangan mata. Aku melarikan pandangan. Dapat aku rasakan, jika bacaan degupan jantung aku di baca, tentu ia akan naik secara mendadak. Sakit, rindu, sebak, semuanya berkumpul menjadi satu di hati aku.
 

No comments:

Post a Comment